Blog berita Kedah pelbagai sumber

Tuesday, November 3, 2020

MB PERJELAS ISU BAYAR HUTANG SADA RM79.33 JUTA

Mai pakat baca..!!!
Sebetulnya hutang yang telah dibayar setakat ini ialah RM79.33 juta, bukan RM78.33 juta seperti yang saya catatkan sebelum ini. Tanpa mencairkan baki simpanan tetap yang disimpan sejak 2010-2015, operasi yang distrukturkan semula selain langkah penjimatan telah mampu menjana pendapatan  untuk membayar hutang sebanyak RM79.33 juta daripada jumlah hutang terkumpul RM147 juta (sejak 2017- Mei 2020). 

Mengapa hutang bertampuk-tampuk sejak 4 tahun lalu? 

Kos operasi meningkat mendadak saban tahun, belanja tidak dikawal, kutipan hasil tidak mampu menampung beban kewangan, kerja-kerja yang boleh dibuat secara inhouse diswastakan untuk mencipta peluang kepada rakan taulan. Akhirnya, kos operasi jauh lebih tinggi daripada hasil, akibatnya bayaran-bayaran wajib kepada syarikat konsesi dan pembekal tidak dapat dilakukan. 

Contohnya pendapatan bulanan keluarga kita hanya RM2,500 tapi belanja mencecah RM3,000. Maka setiap bulan terpaksa berhutang RM500. Kenapa perlu berbelanja RM3,000 sedangkan pendapatan hanya dapat dijana RM2,500? Lebih parah lagi, ada ada ketika simpanan untuk pendidikan anak terpaksa dipecahkan untuk menutup perbelanjaan yang melebihi RM3,000. 

Keadaan ini berlarutan beberapa tahun, tiada di kalangan pemimpin kerajaan dan SADA yang hebat-hebat di zaman itu memberi perhatian, apatah lagi berbuat sesuatu untuk menyelamatkan keadaan. Budaya negatif membesar membina suasana murung dan pasif. Kipas dan konsultan saja hidup cergas.

Maka langkah pentadbiran baru kerajaan negeri dan kepimpinan baru SADA sejak Jun 2020 ialah misi  menyelamat (resque). 

Saya membawa masuk seorang pemimpin lama yang tahu bagaimana langkah resque patut dilakukan. Dia ada kemampuan seperti pakar bedah dalam pengurusan dan pentadbiran.

Beliau menubuhkan SADA bersama kerajaan negeri pada 2010, memupuk dan membentuk SADA daripada rejim JBA yang defisit setahun RM50 juta hingga mencatat keuntungan pada tahun pertama hingga tahun ke enam penubuhannya. Di bawah pentadbirannya Menara Sada bernilai RM68 juta dibina, simpanan tetap hampir mencecah RM100 juta.

Pada satu ketika, mereka sibuk menyusun siapa  yang akan diberikan kerja membangunkan infrastruktur (Loji rawatan air) yang maha penting itu. Datang pula rejim selepas itu membuat  penangguhan pula untuk dibuat kajian semula semua rancangan yang telah disusun rapi itu. 

Cakap pandai, belagak pun pandai. Kerjanya lantik orang itu ini dari sana sini buat kajian. Akhirnya keluarlah hasil kajian yang sama dengan plan asal. Kong kalikong ini telah membuang masa lebih dua tahun. SADA pula sedang menjunam ke lubang yang semakin hari semakin dalam. Saudagar yang ada timba besar bertali panjang sedang menghulur untuk menceduk.

Tidak perlulah saya menghurai panjang siapa yang akan mengaut laba bila SADA diceduk oleh saudagar.

Saya merayu bantuannya untuk membentuk semula SADA supaya dapat bergerak atas landasan infrastruktur yang masih uzur dan longgar. Landasan uzur dan longgar inilah dialpakan oleh kerajaan dan pemimpin SADA selepasnya. Beliau keberatan menerima, kesihatan tubuh badan tidak seperti dulu lagi. Pergerakannya terbatas, hanya suara dan otaknya kekal berbisa. 

Tentangan yang dihadapkan kepada saya berikutan langkah membawa masuk 'doktor lama' itu bukan calang-calang. Begitu begini, begini begitu supaya saya mengalah, menyerah dan menurut. Biarkan saja SADA disambar saudagar, tak ada siapa lagi yang mampu menyelamatkannya, kita jaga apa yang tinggal saja.  

Akhirnya saya terpaksa memacak keris, memberi isyarat tidak akan berganjak. Siapa menentang, saya tikam.

Ditubuhkan semula Majlis Gerakan Sada (MGS) untuk melaksanakan operasi resque berdasarkan keputusan bersama dan diwujudkan Majlis Keselamatan SADA (MKS) dengan beberapa pillar teras untuk mengawal operasi resque MGS. Model pentadbiran ketika situasi darurat dikuatkuasakan, inilah yang dipraktikkan ketika SADA dilahirkan pada 2010. 

Doktor lama mula menyusun pasukan dalaman untuk melakukan langkah resque. Yang mengenal pisau gunting, ubat kebas iodin, jarum benang, diletakkan di dewan bedah. 

Yang kenal panadol dan panau salap diletak di farmasi.
Yang gemar memecut diletak di garaj ambulan, yang tahu bezakan duit orang dengan duit sendiri diletak di cashier. Yang suka bergurau dengan jin di letak di bilik mayat, yang bodoh diajar, yang pandai diberi tugasan besar. 

Yang degil, yang memberontak, yang membentak meracau ke sana sini diberi bawang. Gaji dan gred dikekalkan, supaya tidak menzalimi orang. 

Selepas 4 bulan, hasilnya membanggakan saya dan orang lain, khususnya rakan-rakan di SADA. Berikut adalah sebahagian hutang yang mampu dibayar hasil penjimatan, penyusunan semula struktur operasi dan  kutipan hasil.

Yang meresahkan saya hanya satu. Doktor lama itu tidak mahu dibayar gaji. Dia letakkan KPI dirinya, tidak akan mengambil gaji sehingga SADA berjaya dipulihkan. Jika KPInya tidak berjaya dicapai, khidmatnya kepada SADA adalah percuma.

Yang sedang membawang dan membentak itu pula dimaklumkan pernah menikmati kenaikan gaji dua kali setahun. Ada yang mengharap langkah resque gagal, ada yang terus menerus mencari salah silap untuk terus membawang. Saya hanya mampu geleng kepala.

Semoga SADA pulih sepenuhnya, menjadi agensi milik penuh kerajaan memberi khidmat bekalan air bersih kepada rakyat Kedah. Kepada SADA jugalah letaknya tugas menjana pendapatan untuk menjelaskan hutang kepada persekutuan. Waktu membayar sudah ditentukan, tidak jauh menanti di depan.

Nota: SADA adalah agensi korporat milik kerajaan negeri yang bertanggungjawab dan dilesenkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sebagai operator bekalan air. Membangunkan infrastruktur bekalan dan sumber air adalah tanggungjawab kerajaan negeri dan persekutuan selaras dengan WSIA 2006 (Akta 655).

Catatan:
Muhammad Sanusi Md Nor
Share:

0 comments: