Blog berita Kedah pelbagai sumber

Tuesday, November 3, 2020

LEBIH RM20 JUTA PERUNTUKAN UNTUK PEMBANGUNAN PANTAI MERDEKA DAN TANJUNG DAWAI

 LEBIH RM20 JUTA PERUNTUKAN UNTUK PEMBANGUNAN  PANTAI MERDEKA DAN TANJUNG DAWAI.

ISNIN (02.11.2020)

KUALA MUDA - Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Negeri Kedah telah memperuntukan sebanyak RM20 juta untuk membangunkan beberapa projek di sekitar Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai antaranya membina sebuah jeti baharu di Tanjung Dawai untuk keselesaan pengunjung serta pelancong yang hadir.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sungai Petani, Syed Khairol Anuar Syed Abidin berkata demikian ketika ditemubual oleh Warta Kedah sempena lawatan kerja Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato' Paduka Ammar Dato' Shaikh Mahmood Naim bersama Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di sekitar Pantai Merdeka di sini, hari ini.

Menurut Syed Khairol terdapat beberapa komponen pembangunan yang akan dijalankan di Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai dalam masa terdekat yang melibatkan sekitar persisiran Pantai Merdeka dan Jeti Tanjung Dawai melalui peruntukan dalam RMK-12.

“Terdapat beberapa komponen projek telah disusun. Bagi komponen pertama iaitu pemuliharaan pantai di Pantai Merdeka kembali kepada keadaan asal yang akan bermula pada tahun 2021. Selain daripada itu bagi komponen lain ialah pembinaan jeti di Tanjung Dawai telah diberi pertimbangan untuk dilaksanakan.

“Penyusunan semula penjaja di Pantai Merdeka akan diberi perhatian dan akan dilaksanakan segera melalui perjumpaan dengan penjaja-penjaja telah pun dilakukan dan pihak mereka telah bersetuju serta menyambut baik cadangan yang telah dikemukakan bagi memajukan pertumbuhan ekonomi rakyat negeri Kedah,” katanya.

Hadir sama Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato' Norizan Khazali; Pegawai Daerah dan Tanah Kuala Muda,  Abdullah Hashim; Pengarah JPS Negeri Kedah, Ir. Md. Khuzai Hussain dan Setiausaha MPSPK, Sunita Abdul Aziz.

Dalam pada itu, Syed Khairol juga berharap dengan adanya projek pembangunan pemuliharaan pantai, pembinaan jeti baharu dan penyusunan semula penjaja tepi pantai bukan sahaja akan merancakkan lagi peniagaan penduduk setempat malah ianya akan dapat menarik lebih ramai pelancong dalam dan luar negara untuk mengunjungi Pantai Merdeka dan Tanjung Dawai.

Bersempena lawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah tersebut satu taklimat telah disampaikan oleh Syed Khairol mengenai peta Pembangunan Semasa Pantai Merdeka  dan peta Pembangunan Semasa Tanjung Dawai, Daerah Kuala Muda. Seterusnya, pihak rombongan dibawa melawat kawasan persekitaran Pantai Merdeka dan meninjau tapak cadangan jeti di Tanjung Dawai.







Share:

0 comments: