Blog berita Kedah pelbagai sumber

Tuesday, November 3, 2020

KERAKUSAN MENEBANG BALAK DI ZAMAN MUKHRIZ

JIKA KEGILAAN KERAJAAN MUKHRIZ TIDAK DISEKAT, KAWASAN HUTAN DI KEDAH BAKAL JADI 'PADANG JARAK PADANG TEKUKUR'

Oleh: Zulkifli Yahaya

Acapkali saya menulis mengenai isu balak Kedah. Perihal Menteri Besar, Dato’ Seri Mukhriz Mahathir yang pernah jadi pejuang alam sekitar ketika jadi pembangkang dahulu, kini bila pimpin kerajaan, ghairah pula meratah kayu balak. 
 
Kerajaan Negeri Kedah tidak banyak memberi reaksi apabila isu balak dibangkitkan. Ketua Pembangkang Dato’ Amiruddin Hamzah pernah menyerang BN pada Sidang DUN lalu kerana meluluskan balak melebihi quota penebangan. Mukhriz kelihatan tidak pedulikan serangan pembangkang. 

Agak mengejutkan baru-baru ini, apabila pihak yang menyerang Mukhriz dalam isu balak ialah beberapa ADUN BN sendiri. Kali ini Mukhriz pasti tersentak, kerana yang bersuara adalah pihak yang sepatutnya pertahankan kerajaan negeri dalam apa keadaan sekalipun. 

ADUN yang dimaksudkan ialah Dato’ Ahmad Zaini Japar (BN-Bukit Kayu Hitam). Beliau mengundang beberapa ADUN Kedah untuk melakukan lawatan ke kawasan penebangan balak di Wang Perah, Daerah Kubang Pasu bagi melihat sendiri kerakusan kerajaan Mukhriz menarah balak. 

ADUN yang hadir memberi sokongan ialah Dato’ Ahmad Lebai Sudin (BN-Bukit Lada), Dato’ Ali Yahaya (BN-Pantai Merdeka), Mahadzir Abdul Hamid (BN-Jeneri), Mohd Nasir Mustafa (PAS-Kubang Rotan) dan Azman Nasruddin (PKR-Lunas).

Tindakan Dato’ Ahmad Zaini mudah untuk difahami. Beliau menjadi sasaran kemarahan rakyat dalam kawasannya, kerana pembalakan dibuat dengan sungguh rakus. Akibat penggondolan hutan, segala sisa turun dari bukit tanpa halangan ke kawasan kampung. Segala tanaman musnah, sungai sudah hilang wajah dan banjir lumpur menambah derita mereka. Sebelum ini penduduk menggunakan air sungai dari bukit sebagai sumber bekalan air. Kini yang turun dari bukit ialah air ‘teh tarik’ yang belum dicampur gula.

Jika sasaran kemarahan rakyat ialah wakil rakyat, maka tentulah sasaran wakil rakyat pula ialah kerajaan yang meluluskan projek pembalakan di kawasan yang tidak sepatutnya. Bukan mudah untuk seorang wakil rakyat dari parti kerajaan menyanggah kerajaannya sendiri secara terbuka. Ia jadi pilihan terakhir setelah semua ruang untuk berdiplomasi tiada. Siapa kata kerajaan BN mendengar suara hati rakyat? 

Sokongan dari beberapa ADUN parti kerajaan juga mudah untuk dibaca. Mereka sudah hilang keyakinan kepada Menteri Besar yang tidak pedulikan masalah rakyat. Barisan Exco pun serupa, asyik mengampu Menteri Besar sehingga melupai rakyat.

Latarbelakang kawasan hutan yang terbabit dengan pembalakan itu, asalnya adalah Hutan Simpan Kekal. Ia dicabut keluar untuk ditukar syarat menjadi kawasan berstatus pertanian. 

Berdasarkan dokumen, seluas 1,699.7 hektar kawasan terbabit. Ianya diluluskan kepada SSI (State Secretary Incorporated) untuk dijadikan kawasan ladang. SSI adalah badan yang tidak berstruktur. Maknanya, SSI itu adalah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan SUK itu adalah SSI. Soalnya sejak bila pula SUK menceburi sektor perladangan?

Sebelum projek ladang bermula, SSI dikatakan menyerahkan kerja pembalakan kepada Long Xing Fa Enterprise. Mudah sungguh di zaman Mukhriz, syarikat “enterprise” pun diberi kepercayaan punggah balak.

Bekas Setiausaha Politik Almarhum Ustaz Azizan, Muhammad Sanusi Md Nor mempersoalkan berapakah kadar premium pembalakan per hektar yang syarikat itu bayar kepada kerajaan, dan apakah balasan yang SSI dapat daripada projek ladang ini?
“Persoalan lebih besar kalau SSI dapat pulangan daripada pembalakan ini, berapa jumlahnya? Siapa yang mentadbir kewangan SSI? Dimasukkan ke akaun mana? Siapa yang mengendalikan pengurusannya? Ke mana pergi wang yang mengalir masuk ke akaunnya daripada balak dan hasil ladang? Pergi kepada rakyat, kepada kantung negeri atau kepada siapa-siapa di sebalik apa-apa?” tanya Sanusi.

Sejak Mei 2013 sehingga Oktober 2015, kerajaan negeri pimpinan BN menyembunyi hasil negeri daripada industri pembalakan, khususnya jumlah kutipan premium. Berbeza di zaman Pakatan dahulu, pengumuman dibuat setiap tahun.

Keanehan yang sangat dirasai oleh rakyat negeri Kedah, termasuk pemimpin dan ahli Umno sendiri ialah, Mukhriz sebelum jadi Menteri Besar adalah “pejuang alam sekitar” yang sejati. Beliau mengapalai kempen membantah pembalakan di Charok Genting Bunga, Pedu. Beribu-ribu rakyat Kedah yang sebahagiannya tidak tahu apa-apa diangkut dengan bas untuk berhimpun di pinggir Tasek Pedu untuk nyatakan bantahan.

Hakisan tanah akibat pembalakan didakwa menyebabkan air lumpur mengalir ke Tasik Pedu. Walhal setitik air pun dari kawasan pembalakan tidak boleh memasuki tasik tersebut kerana terdapat benteng pemisah yang lebar dan tinggi. Kawasan terbabit dengan pembalakan sangat jauh dari penduduk.

Nah, sekarang bila jadi Menteri Besar dia luluskan pula pembalakan di kawasan berhampiran penduduk kampung. Kesannya sangat dahsyat sehingga terdapat penduduk yang menangis apabila menceritakan derita yang dihadapi. Para aktivis alam sekitar yang datang berkunjung pun geleng kepala. Kata mereka, “hanya kerajaan gila sahaja yang luluskan penggondolan hutan di kawasan berpenduduk!”

Hakikatnya, sejak Mei 2013, beribu-ribu kawasan hutan diluluskan kepada syarikat pembalakan untuk ditebang. Tahun ini sahaja lebih 3200 hektar hutan diluluskan kepada MBI untuk dijadikan ladang. 

Terkini, 800 hektar hutan di Gunung Inas diluluskan kepada MBI-JV Felcra untuk projek ladang. “Bukankah di situ dulu BN/UMNO 'menangis terpekik terlolong' berdemo membantah penebangan hutan untuk tanaman Timber Latex Clone -TLC yang diluluskan oleh BN pada 2007?” tanya bekas Setiausaha Politik Ustaz Azizan.

Kerakusan kerajaan BN Kedah menggondolkan hutan tidak boleh dipandang sepi. Semua pihak mesti bangun menyekat kegilaan ini. Jika dibiarkan, kawasan hutan di Kedah bakal jadi padang jarak padang tekukur.
Share:

0 comments: