KUALA LUMPUR: Pemergian Allahyarham Prosefor Diraja Ungku Aziz Ungku Abdul Hamid pastinya dikenang negara dan ummah atas gagasan idea dan jasanya.
Allahyarham banyak berbakti bagi melonjakkan kewangan Islam di Malaysia terutamanya dalam membantu ekonomi persediaan bakal Haji menerusi penubuhan Lembaga Urusan Tabung Haji dan juga penubuhan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).
Menurut Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Allahyarham merupakan tokoh akademik negara dan satu-satunya individu yang terpilih dalam menyandang gelaran Profesor Diraja.
Katanya, gelaran itu merupakan gelaran tertinggi yang hanya dianugerahkan oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Allahyarham merupakan satu dalam sejuta dan pastinya pemergiannya merupakan kehilangan yang besar buat negara dan ummah.
“Allahyarham juga merupakan anak watan pertama dilantik menjadi Naib Canselor Universiti Malaya (UM) dan memegang jawatan itu paling lama iaitu selama 20 tahun sejak 1968.
“Jasa Allahyarham semasa menyandang Naib Canselor antaranya adalah menubuhkan Pusat Asasi Sains yang telah menyaksikan kelahiran ramai doktor, jurutera dan profesional dalam kalangan anak tempatan.
“DUPP mendoakan agar Allahyarham di tempat di kalangan orang yang soleh dan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah dan pahala berpanjangan atas bakti yang dicurahkan memberikan manfaat yang berterusan kepada negara dan ummah khususnya di Malaysia,” doa beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau pada masa sama merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham atas pemergian Allahyarham dua hari lalu, pada usia 98 tahun.
Allahyarham Ungku Abdul Aziz meninggal dunia akibat sakit tua di Hospital Prince Court di ibu negara pada pukul 4.30 petang, pada 15 Disember 2020. – HARAKAHDAILY
0 comments:
Post a Comment