BELANJAWAN 2021 Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun diluluskan di Dewan Rakyat. Undian belah bahagi terakhir iaitu pada bacaan kali ketiganya semalam berakhir dengan 111 menyokong dan 108 menolak dan seorang tidak hadir.
Proses seterusnya adalah di Dewan Negara yang dijangka turut akan meluluskannya tanpa masalah dan seterusnya di bawa ke Yang di-Pertuan Agong untuk memperolehi perkenan DiRaja.
Apa yang penting dalam proses kelulusan ini adalah bahawa ancaman dari pihak pembangkang Pakatan Harapan (PH) bahawa mereka akan menggagalkannya sekali gus merobohkan Kerajaan PN dengan kekuatan majoriti yang kononnya mereka miliki akhirnya terbukti palsu dan tidak berlaku.
Pelbagai insiden digembar-gembur sebelumnya seolah-olah menggambarkan yang Kerajaan PN memang goyang dan bakal roboh. Malah portal berita dan media sosial yang pro PH terus bernafsu mengapi-apikan kemungkinan ini. Kenyataan yang kononnya Ketua Pembangkang memiliki sebilangan sokongan melebihi dari yang ada di tangan PN menggusarkan ramai pihak.
Apa pun kesudahannya, Kerajaan PN kekal, Belanjawan berjaya diluluskan dan Anwar Ibrahim serta sekutunya kekal di bangku pembangkang. Mungkin sudah tiba masanya jawatan Ketua Pembangkang ini diambil-alih pihak lain dalam PH kerana segala strategi dan janji Anwar nampaknya semuanya tidak berjaya dan tak mampu ditepati. Cukup-cukuplah mahu merampas jawatan PM kerana ternyata sokongan tidak mencukupi.
Satu perkembangan yang lebih penting dari kegagalan PH ini adalah kesediaan parti-parti yang mendukung Kerajaan PN mengenepikan apa sahaja perbezaan mereka demi memastikan Belanjawan ini lulus sebagaimana titah hasrat Yang di-Pertua Agong.
Sesungguhnya Tan Sri Muhyiddin dan BERSATU bersendirian tidak mampu, Umno BN bersendirian juga tidak dan begitu juga PAS serta GPS dan rakan-rakan lain dari Borneo untuk memungkinkan perkara ini berlaku. Tetapi ia berlaku kerana semua pihak sanggup dan bersedia berjiwa besar meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan mengatasi kepentingan politik dan agenda parti masing-masing.
Kesatuan inilah yang memungkinkan Belanjawan ini diluluskan dan kesatuan inilah juga yang mengakibatkan PH kecundang dan merana. Semua pihak penting dan perlu memain peranan.
Inilah politik baru yang dikehendaki rakyat Malaysia apatah lagi di saat rakyat dan negara berhadapan dengan kesan pandemik COVID-19 ini. Apa guna membantah dan bertelagah di saat masa depan negara terancam dan rakyat kesempitan?
Saya yakin dan percaya kiranya semua pihak dapat mengekalkan kesatuan ini, berbincang dengan baik dan matang dengan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat dan negara di hadapan, kerajaan dan parti-parti yang mendukungnya ini akan kekal dan bakal menang lebih besar dalam PRU akan datang.
Berusahalah bersungguh-sungguh wahai pimpinan kami, demi agama, bangsa dan negara. Rakyat mahukan gabungan ini kekal memerintah dan tidak sekali-kali diserahkan kembali ke PH.
ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY
0 comments:
Post a Comment