KUALA LUMPUR: Kerajaan menggariskan lima keutamaan pada 2021 dalam satu strategi bersepadu pemulihan negara pasca-COVID-19 bagi memulihkan situasi di Malaysia sebaik dan secepat mungkin, kata Perdana Menteri hari ini.
Memperincikan perkara tersebut, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keutamaan pertama adalah mempertingkatkan tahap kesihatan awam melalui perolehan bekalan vaksin COVID-19 dan melancarkan program vaksinasi di seluruh negara.
“Kedua, memperkukuh ekonomi prihatin rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi negara pasca-COVID-19 melalui pelaksanaan Belanjawan 2021 dan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Ketiga memastikan kestabilan politik dan kerajaan termasuk tadbir urus yang baik sebagai asas kepada pemulihan ekonomi yang mampan dan keempat, menjamin kedaulatan negara terpelihara dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperhebat,” katanya.
Beliau berucap dalam perutusan khas sempena sambutan Tahun Baharu 2021 bertemakan ‘Bersemangat Melangkah ke Tahun Baharu 2021’.
Muhyiddin berkata keutamaan kelima adalah memperkukuh hubungan antara kaum dan agama dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu menentang sebarang ancaman.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan berikhtiar untuk meningkatkan tahap kesihatan awam di negara ini berasaskan prinsip mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.
Jelasnya, pencegahan awal adalah penting dan beliau turut menegaskan bahawa prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan perlu terus dipatuhi, bersesuaian dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan.
Menyentuh keutamaan kedua, Muhyiddin menjelaskan bagi memperkukuh ekonomi prihatin rakyat dan memacu pertumbuhan ekonomi negara, Belanjawan 2021 telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen dengan peruntukan sebanyak RM322.5 bilion.
“Belanjawan terbesar dalam sejarah negara ini amat kritikal bagi memastikan ekonomi negara dapat dipulihkan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
“Kerajaan akan terus membangunkan jaringan keselamatan sosial seperti bantuan tunai secara langsung seperti Bantuan Prihatin Rakyat, skim perlindungan insurans khusus B40 dan memperkukuh sistem kebajikan negara,” katanya.
Beliau berkata ia bertujuan memastikan nasib golongan rentan termasuk B40, warga emas dan orang kurang upaya sentiasa terbela.
Muhyiddin berkata melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), satu strategi komprehensif akan diumumkan pada awal 2021 bagi memulih dan merancakkan semula ekonomi negara.
Mengenai keutamaan ketiga pula, Muhyiddin menyifatkan situasi politik negara sepanjang tahun ini mencabar dan memberi kesan kepada keyakinan pelabur terhadap negara dan kerana itu persefahaman dalam kalangan rakan-rakan parti kerajaan Perikatan Nasional akan terus disemai dan dipupuk, manakala perbezaan akan diuruskan dengan teliti dan cermat.
“Adalah juga diharapkan pimpinan politik dapat menunjukkan sifat bertanggungjawab dan tidak mengambil tindakan yang boleh mengganggu gugat kestabilan politik negara,” katanya yang turut berharap pemimpin politik mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta mendengar kemahuan rakyat.
Beliau berkata kerajaan akan terus berusaha memerangi rasuah dan menjunjung nilai ketelusan serta integriti, justeru sistem pelaksanaan akan dipantau supaya rakyat mendapat apa yang dijanjikan.
“Saya percaya kestabilan politik dan tadbir urus yang baik mampu mewujudkan ekosistem pelaburan yang kondusif bagi memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara dan seterusnya mempercepatkan proses pemulihan ekonomi negara,” katanya.
Bagi keutamaan keempat, Muhyiddin berkata kerajaan akan memastikan keselamatan negara terbela dan kedudukan Malaysia di persada antarabangsa diperkukuh dan memasuki 2021, kerajaan memberi jaminan keselamatan negara dan rakyat sama ada secara fizikal atau maya di bawah radar pemantauan agensi-agensi keselamatan negara.
“Kawalan terhadap sempadan dan pintu-pintu masuk negara akan terus diperketatkan, manakala sebarang aktiviti pencerobohan atau penyeludupan tidak akan terlepas daripada tindakan tegas. Kerajaan tidak berkompromi soal kedaulatan negara. Jenayah dalam talian seperti scammer yang makin berleluasa juga akan dipantau,” katanya.
Susulan pandemik COVID-19 telah merubah ‘the global order’, Muhyiddin berkata pada tahun depan, Malaysia memainkan peranan lebih aktif di pentas global, justeru membuka peluang untuk negara menonjolkan kepimpinan lebih dinamik di peringkat dunia.
Jelasnya sudah tiba Malaysia muncul sebagai kuasa yang disegani, berani memperjuangkan kemakmuran bersama dan keamanan sejagat secara konsisten.
Bagi keutamaan kelima, Muhyiddin berkata kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang ingkar dan terus menyemai api kebencian antara kaum dan agama apatah lagi menghina institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.
Beliau berkata lima keutamaan kerajaan itu selari dengan visi jangka panjang yang terangkum dalam dasar Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030). – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment