ALHAMDULILLAH, memasuki tahun Masihi 2021 ini, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah S.W.T atas nikmat yang kita telah kecapi selama diberikan umur oleh Allah S.W.T sehingga ke saat ini. Memasuki gerbang 2021 telah mengisyaratkan kita mengenai perlunya satu anjakkan paradigma buat seluruh rakyat Negeri Kedah terutamanya.
Menjadi keperluan untuk kita semua bersama-sama berganding bahu menyingsing usaha. Pertambahan angka ini memberi kita tanda aras untuk kita lebih matang dalam pemikiran dan tindakan. Terus melangkah berubah menjadi lebih positif mengikut perkembangan semasa.
Ketika COVID-19 melanda dunia 2020, telah menyaksikan bagaimana norma kehidupan manusia telah berubah. Pandemik COVID-19 telah menduduki carta tertinggi dalam senarai yang luar biasa dan telah mengubah seluruh sistem kehidupan termasuk bidang ekonomi, pendidikan dan sosial. Perubahan ini telah berlaku di seluruh dunia termasuklah Malaysia. Pentadbiran Kerajaan Malaysia turut berubah mengikut pandemik baharu ini.
Seluruh sistem dunia ini bakal menjadi tatapan sejarah buat seluruh generasi akan datang. Seperkara yang perlu diingat adalah setiap perubahan, nikmat dan bala merupakan satu tanda kekuasaan Allah S.W.T yang mentadbir alam ini. Ia juga bertujuan menguji tahap keimanan mereka yang mengakui beriman sebagaimana firmanNya:
أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتْرَكُوٓا۟ أَن يَقُولُوٓا۟ ءَامَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ ﴿٢﴾
وَلَقَدْ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُوا۟ وَلَيَعْلَمَنَّ ٱلْكَٰذِبِينَ ﴿٣﴾
“Patutkah manusia menyangka mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: ‘Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya, Kami menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya orang yang berdusta.’”
(al-Ankabut: 2-3)
Begitu juga perubahan demi perubahan dalam politik dan pentadbiran, akan sentiasa ada pendekatan serta norma baru dalam suasana bekerja untuk memikul beban amanah rakyat.
Sejarah dunia membuktikan tiada satu pun kerajaan yang amat berkuasa seketika dahulu mampu kekal sehingga ke hari ini. Perlu ada jajaran, gabungan, pemikiran dan pendekatan baru dalam landskap politik semasa demi memastikan kesejahteraan rakyat tidak terjejas oleh sikap bebal, sombong, berkepentingan diri sendiri dan sikap negatif yang lain.
Marilah bersama memandang ke hadapan, melangkah dalam satu barisan yang teratur rapi. Berpadu seolah-olah bangunan yang tersusun kukuh bagi mencapai iltizam serta agenda yang seiring dalam pengagihan ekonomi yang adil, kebajikan yang saksama dan inklusif kepada semua rakyat.
PAS Kedah berdoa agar tahun 2021, Insya-Allah, akan memancarkan sinaran yang terang untuk kesejahteraan rakyat dan negara.
“Selamat Tahun Baru 2021”
“اسلام ممڤركوكوه ڤرڤادوان”
USTAZ AHMAD YAHAYA
Pesuruhjaya PAS Kedah
16 Jamadil Akhir 1442H | 31 Disember 2020 – HARAKAHDAILY
0 comments:
Post a Comment