Blog berita Kedah pelbagai sumber

Thursday, February 11, 2021

Pesawah berdepan serangan ‘Bena Perang’


PENDANG: Ketika manusia berdepan dengan pandemik Covid-19 yang menyebabkan kematian lebih 850 orang di negara kita sehingga sekarang, sebaliknya pokok padi turut berdepan serangan penyakit.

Serangga Bena Perang memulakan serangan bermula di tapak semaian sehingga peringkat pokok padi berbuah.

Sekiranya tidak dikawal boleh menyebabkan pokok padi mati dan secara tidak langsung akan menjejaskan sumber makanan negara.

Oleh itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) komited membantu petani di kawasan Muda bagi mengawal serangan Bena Perang.

Pengerusinya, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, sehingga 3 Februari lepas keluasan serangan serangga itu dianggarkan seluas 724,66 hektar di mana 276,97 hektar daripadanya mencapai tahap hopperburn.

Katanya, beberapa kawasan dikenal pasti terkesan dengan serangan tersebut antaranya Jitra, Pendang, Kota Sarang Semut dan Perlis.

“Pihak MADA melaksanakan program membantu kawalan serangan Bena Perang di kawasan yang mempunyai penilaian risiko sangat tinggi dengan anggaran keluasan 1,819 hektar secara berperingkat.

“Kaedah pelaksanaan program tersebut melalui perkongsian kos input di antara MADA dan peladang iaitu masing-masing 50 peratus.

“Manakala kos aplikasi akan ditanggung sepenuhnya oleh peladang,” katanya ketika lawatan ke demontrasi kawalan Bena Perang di Tanjung Radin dan Bukit Seni Pendang dekat sini, kelmarin.

Serangan serangga terbabit menyebabkan pokok padi menjadi kering dan mati serta hasil pertanian merosot.

Sebelum ini pesawah berdepan dengan serangan perosak padi termasuk wereng coklat (Nilaparvata lugens Stal) iaitu sejenis hama yang merosakkan pokok padi.

Ahmad Tarmizi juga berkata, MADA melaksanakan program khusus membantu kawalan terhadap serangan Bena Perang di kawasan Muda.

“MADA memerlukan kerjasama sepenuhnya daripada petani bagi membendung penyakit tersebut untuk mengelakkan menjejaskan sumber pendapatan mereka,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 

Share:

0 comments: