Blog berita Kedah pelbagai sumber

Wednesday, December 9, 2020

REE: Ekstrak guna teknologi baharu, tiada pembalakan


KUALA LUMPUR: Pengekstrakan elemen nadir bumi (REE) tidak dilakukan sepertimana perlombongan biasa, sebaliknya menggunakan teknologi baharu, demikian jelas Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Malah tegasnya, dengan teknologi digunakan itu tidak akan menebang sebarang pokok setelah pula tiada lagi kawasan pembalakan boleh diluluskan kerana semua hutan yang mengandungi kayu balak telah diluluskan di zaman Pakatan Harapan (PH).

“Di Ulu Muda sahaja ada 22,00P hektar yang dalam proses pelesenan untuk tebangan, dah diluluskan zaman dulu. Saya masuk pejabat ini tak ada tempat dah nak diluluskan. Zaman PH (lagi sudah lulus).

Advertisement

“Untuk kawasan yang dikatakan ada REE itu, kawasan itu pun dah gondol dua tahun lepas, tak ada kayu dah,” ujarnya menjawab tuduhan pihak tertentu mendakwa pengekstrakan REE itu bagi membolehkan balak dikeluarkan.

Jelas beliau, pihak kerajaan negeri memberi permit teroka dan bukan permit carigali di mana pencarian untuk menentukan lokasi dan keberadaan REE tersebut akan disahkan kepastiannya melibatkan Jabatan Geosains dan Mineral.

“Teroka ini cari, betul ke ada tang (di) yang dikatakan ada itu. Teroka dulu kut-kut (kalau-kalau) ada. Ada ke, tak ada ke. Benda duduk di bawah tak ada siapa nampak kan. Jadi kita bagilah permit teroka. Kalau ada alhamdulillah, kalau tak ada, masya-Allah,” katanya.

Tambahnya, garis panduan penerokaan tersebut berada dalam ketetapan dasar oleh Majlis Mineral Negara yang berada di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli dengan kerjasama semua kerajaan negeri.

Beliau mengingatkan pihak tertentu untuk tidak melulu membuat tuduhan bagi menafikan usaha mengeluarkan REE tersebut jika ia benar wujud sebagai kekayaan pemberian Allah, sebaliknya dipastikan tidak mengalir keluar.

Beliau mengimbas sejarah penjajahan lampau di mana sumber mineral galian yang terdapat di negara ini telah mengkayakan negara-negara Barat dengan membangunkan Revolusi Industri menggunakan hasil dari negara ini. – HARAKAHDAILY

Share:

0 comments: