Blog berita Kedah pelbagai sumber

Tuesday, December 1, 2020

Meluruskan kefahaman ‘penyanggah’ fatwa

SATU fenomena yang menggerunkan sejak akhir-akhir ini apabila terdapat netizen yang menolak dan memperlekehkan fatwa. Boleh dikatakan mereka itu anti kepada segala yang umum diterima pakai oleh masyarakat. Apabila para doktor mengesyorkan vape diharamkan dan para Mufti mengeluarkan fatwa, mereka menentangnya. Kononnya fatwa bukan hukum tetapi hanya pendapat. 

Apabila para doktor pakar menyarankan vaksin kepada anak-anak dan majlis fatwa menyokongnya sehingga beberapa Mufti mewajibkan pengambilan vaksin, mereka persendakan fatwa tersebut. Begitu juga dengan isu ganja, kelahiran tidak selamat oleh Doula, ketum dan banyak lagi isu yang telah pun difatwakan oleh institusi fatwa, mereka secara jelas menulis di laman sosial melawan hujahan yang dibuat oleh badan berautoriti. Mereka adalah anti-fatwa, apabila sesuatu itu tidak selera dengan tekak mereka. Berikut saya bawa beberapa penulisan mengenai fatwa dan hal yang berkaitan dengannya.

Advertisement

Apa Itu Fatwa?

Laman web Mufti Pulau Pinang menyatakan bahawa fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah S.W.T sama ada pada yang mesti atau harus [1].

Manakala laman web JAKIM menyatakan bahawa fatwa itu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan hukum syarak. Sesuatu fatwa yang telah disiarkan dalam warta hendaklah dipatuhi oleh semua umat Islam yang berada di negeri itu, kecuali amalan peribadi yang dibenarkan mengikut hukum syarak; dan fatwa yang diwartakan merupakan sebahagian daripada undang-undang yang perlu diikuti oleh semua Mahkamah Syariah bagi negeri itu [2].

Sahibussamahah Mufti Wilayah Persekutuan mengulas panjang dalam laman web rasmi, antaranya [3]:

Koleksi tulisan para ulama telah mendefinisikan fatwa seperti berikut:

(1) Kata Al-Imam Al-Qarafi (684 h.) fatwa ialah mengkhabarkan hukum Allah sama ada pada yang mesti ataupun harus. Rujuk Al-Furuq, al-Qarafi (4/53).

(2) Kata Al-Jurjani (816) fatwa adalah: Menjelaskan hukum bagi suatu permasalahan.

(3) Syeikh al-Qunawi al-Hanafi (978 h.) mengatakan bahawa fatwa adalah menyebutkan hukum perkara yang ditanyakan kepada penyoal. Rujuk Anis al-Fuqaha (1/319). 

(4) Kata Al-Imam al-Munawi (1031 h.) fatwa adalah jawapan dari seorang Mufti. Rujuk Al Ta’arif Lil Munawi (Halaman 550).

(5) Kata Al-Imam al-Buhuti (1051 h.): Fatwa adalah menjelaskan hukum syarak kepada sesiapa yang bertanya mengenainya. Rujuk Syarah Muntaha al Iradaat, Mansur bin Yunus al-Buhuti (3/483). 

(6) Al-Syaukani (1250 h.) mengatakan bahawa fatwa adalah hasil daripada ijtihad.

(7) Kata al-Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar (1430 h.): Fatwa adalah memberi perkhabaran akan hukum Allah daripada dalil syarak kepada sesiapa yang bertanya mengenai perkara tersebut disebabkan berlakunya sesuatu kejadian

(8) Wahbah al-Zuhaili (1436 h.) mengatakan bahawa fatwa adalah jawapan yang diberikan oleh seorang Mufti terhadap sesuatu perkara yang berlaku apabila diajukan soalan kepadanya.

(9) Abdullah Abdul Muhsin al-Turki mendefinisikan fatwa sebagai suatu perkhabaran dari seorang Mufti sebagai jawapan kepada soalan atau penjelasan bagi hukum sekalipun ia bukan merupakan soalan yang khas. Rujuk Usul Mazhab al-Imam Ahmad, Muassasah al-Risalah.

(10) Muhammad Husin al-Jizani pula mendefinisikan fatwa sebagai penjelasan hukum syarak. Rujuk Ma’alim Usul al-Fiqh ‘Inda Ahli al-Sunnah.

Sementara itu ulamak fikah pula telah mendefinisikan fatwa dengan pelbagai takrif antaranya:

(a) Menerangkan hukum sesuatu permasalahan.

(b) Menjawab segala kemusykilan baik dari sudut syarak atau undang-undang. Kedua takrifan di atas merupakan pendapat mazhab Hanafi.

(c) Mengkhabarkan hukum syarak tanpa sebarang kemestian untuk diikuti. Ini adalah pendapat ulamak Maliki.

(d) Memberikan penjelasan hukum syarak bagi sesuatu permasalahan sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berjamaah.

Tarjih dari SS Dato’ Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri:

“Setelah meneliti kesemua takrifan yang dikemukakan, penulis berpendapat bahawa terdapat titik persamaan di antara kesemua takrif adalah: Menjawab, menerangkan, menjelaskan, atau mengkhabarkan hukum.”

Jelas di sini bahawa fatwa yang dikeluarkan oleh badan berwibawa itu bukan mudah, bukan untuk dipermainkan dan bukan diambil ringan. Sesuatu hukum yang diputuskan oleh fatwa adalah hasil dari penelitian segenap sudut bagi merungkai masalah semasa. Jika tiada institusi berautoriti seperti ini, siapa lagi yang kita ingin pegang hukumnya?

Kebanyakan mereka yang anti-fatwa itu adalah berpegang kepada pendapat peribadi mereka sendiri yang cetek ilmu, terlalu mementingkan diri dan kelompok yang mereka anuti.

Semoga kita dijauhi golongan seperti ini.

DR SUHAZELI ABDULLAH 
Pakar Perubatan Keluarga 
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 30/11/2020

[1] http://mufti.penang.gov.my/index.php/2014-11-12-02-37-08/fatwa

[2] https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/posts/1227745813942652

Share:

0 comments: