SEBAGAIMANA kita semua maklum bahawa COVID-19 adalah wabak baharu dari mutasi virus Corona. Sehingga kini tiada negara boleh mendakwa mereka bebas sepenuhnya dari wabak pandemik ini. Dalam dunia, negara-negara terbahagi kepada 3:
(1) Mengamalkan PKP seperti yang negara kita amalkan. Semua kes diberitahu kepada umum secara telus.
(2) Tidak mengamalkan PKP, tetapi menjalankan usaha-usaha tertentu dalam memutuskan rantaian virus. Kes diisytiharkan apabila memenuhi desakan tertentu.
(3) Tidak mengamalkan langsung, malah tiada usaha pun untuk mengekang virus merebak. Dilepas bebas rakyatnya dan statistik kes juga statistik kematian pun tidak diketahui lanjut.
Sehingga kini terdapat pro dan kontra dalam ketiga-tiga aliran pengurusan wabak tersebut. Terdapat juga pandangan yang menyanggah usaha yang sedang dijalankan oleh kerajaan sekarang. Dakwa mereka, kerajaan tidak perlu ikut SOP sebagaimana yang dibuat oleh majoriti negara di dunia.
Mereka membawa berapa contoh seperti Sweden yang pada awal tahun 2020 tidak mengamalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pada satu ketika Sweden nampak macam berjaya melawan COVID-19 dengan dasar bebas tanpa PKP.
Namun kita perhatikan sejak Oktober 2020, kerajaan Sweden sudah mula mengaku bahawa mereka melakukan kesilapan. Akhirnya Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan. Tetapi, agak terlewat sebab jumlah kematian 10 kali ganda dari negara-negara jiran.
Ya, manusia hanya merencana tetapi ketentuan itu milik Allah yang Maha Pengatur segala perancangan manusia. Mungkin kaedah kawalan ketat yang berjaya atau lepas bebas yang menang dalam melawan wabak ini. Sejarah akan terus dicatat dan akan dinilai oleh manusia terkemudian.
Apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang ini adalah berdasarkan kepada dapatan demi dapatan titik-titik peristiwa yang berlaku. Dapatan itu dicatat oleh si berjaya atau si gagal untuk dijadikan teladan kita bertindak.
Buat masa ini kita berada di right track, walaupun belum menang sepenuhnya. Lihatlah unjuran statistik yang berlaku dalam negara, syukur kita dengan nada lega atas segala usaha dan jerit perih yang dijalankan oleh pihak berkuasa. Serahkan kepada ahlinya.
DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY
0 comments:
Post a Comment