Blog berita Kedah pelbagai sumber

Wednesday, November 18, 2020

Tiada sebab tolak Belanjawan 2021


KUALA LUMPUR: Tiada keperluan Belanjawan 2021 yang dibentangkan kerajaan 6 November lalu, ditolak oleh mana-mana pihak, kata Penganalisis Politik, Prof Madya Dr Anuar Shah Bali Mahomed.

Menurut beliau, belanjawan negara boleh diperbaiki dari semasa ke semasa ketika sesi perbahasan Ahli-ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Justeru itu, peluang untuk memberi pandangan-pandangan balas mengenai Belanjawan 2021 perlu dimanfaatkan ketika ini sekiranya terdapat aspek-aspek yang perlu dibaiki.

Jangka Anuar Shah, akan berlaku beberapa pindaan terhadap belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan, Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Tengku Abdul Aziz itu.

Advertisement

“Antara contoh yang boleh dilihat adalah pengumuman i-Sinar semalam oleh Kementerian Kewangan (MoF) bagi membantu tiga kelompok yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Begitu juga aspek-aspek lain termasuk lanjutan moratorium dan penjelasan berhubung peruntukan khas kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya tidak nampak ada sebarang keperluan untuk menolak bajet tersebut selepas kerajaan mengambil kira pandangan Ahli-ahli Parlimen ketika berbahas di dalam Dewan Rakyat.

“Sebab, kita lihat ia boleh diselesaikan dalam masa beberapa minggu sepanjang pembentangan Belanjawan 2021,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung desakan pihak tertentu yang mengugut untuk menolak Belanjawan 2021 sekiranya kerajaan tidak mematuhi kehendak yang diperjuangkan mereka.

Belanjawan boleh ditambah baik

Mengulas lanjut, kata Anuar Shah, beliau yakin, terdapat beberapa penambahbaikan yang akan dilakukan kerajaan di dalam Belanjawan 2021.

“Itu pandangan saya, tidak ada keperluan bajet ditolak sekiranya perkara yang dituntut Ahli-ahli Parlimen dipertimbangkan kerajaan, contohnya pengumuman i-Sinar.

“Kita jangka, ada beberapa pengumuman lain yang akan dibuat selepas ini sewaktu penggulungan, akan ada beberapa perkara yang ditambah baik,” ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

i-Sinar adalah contohnya

Program i-Sinar adalah kesinambungan kepada program i-Lestari yang dilancarkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada Mac lalu.

Ia bagi menambah baik inisiatif pengeluaran Akaun 1 secara bersasar dan dijangka memanfaatkan dua juta pencarum KWSP yang terkesan iaitu golongan yang telah kehilangan pekerjaan, pekerja sektor formal yang tidak mampu mencarum selama dua bulan berturut-turut atau pekerja yang diberi cuti tanpa gaji oleh majikan.

Program i-Sinar akan berjalan serentak dengan beberapa lagi inisiatif dan bantuan menerusi KWSP, termasuk program i-Lestari dan pengurangan caruman bulanan oleh pekerja yang telah diumumkan dalam PRIHATIN dan Belanjawan 2021

Di bawah i-Sinar, syarat pengeluaran adalah terbahagi kepada kategori simpanan Akaun 1 RM90,000 ke bawah serta kategori simpanan Akaun 1 melebihi RM90,000.

Bagi ahli KWSP yang memiliki simpanan Akaun 1 RM90,000 ke bawah, ahli boleh membuat pengeluaran secara beransur selama enam bulan sehingga maksimum RM9,000; dengan pengeluaran pertama sehingga RM4,000.

Pengeluaran bulanan seterusnya adalah pada tahap maksimum RM1,000 sebulan.

Buat kategori ahli yang mempunyai jumlah simpanan Akaun 1 yang melebihi RM90,000, ahli dibenarkan mengeluarkan secara ansuran selama enam bulan sehingga maksimum RM60,000 (tertakluk kepada jumlah simpanan); dengan pengeluaran pertama sehingga RM10,000.

Pengeluaran bulanan seterusnya adalah pada tahap maksimum RM10,000 sebulan.

Pengeluaran Akaun 1 KWSP RM10,000

Bagaimanapun, kata Anuar Shah, melalui tinjauannya, rakyat masih mahukan pengeluaran RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP walaupun i-Sinar telah diumumkan.

Justeru itu, beliau berpandangan bahawa kerajaan perlu mempertimbangkan perkara tersebut semasa penggulungan belanjawan untuk memberikan lebih ruang kepada pencarum KWSP untuk mengeluarkan wang tersebut.

Sehubungan itu, kemungkinan kerajaan juga perlu mengkaji jumlah yang lebih sesuai dengan situasi yang dihadapi rakyat untuk memberikan ruang kepada pencarum KWSP membuat pengeluaran yang lebih tinggi sehingga RM10,000 bagi membantu mereka yang terjejas.

Hal ini kerana, kata Anuar Shah, situasi semasa mendesak rakyat mengeluarkannya terutamanya demi menyara kehidupan berkeluarga. – HARAKAHDAILY 

Share:

0 comments: