Blog berita Kedah pelbagai sumber

Wednesday, November 25, 2020

PERANG MORAL/KEPENTINGAN DALAMAN BLOK KONSERVATIF BAKAL KEMBALI


 PERANG MORAL/KEPENTINGAN DALAMAN BLOK KONSERVATIF BAKAL KEMBALI

*Artikel panjang. Jika malas baca, boleh lukis sendiri.


Oleh: Dr Tanaka Mustafa


1) Kita ulang sembang balik bab blok idelogi politik kiri vs kanan. Walaupun sebenarnya ia tak semudah hitam dan putih, kita boleh kelaskan kepada kiri, tengah, dan kanan. Kita lihat pergelutan politik secara makro.


2) UMNO, PAS, PPBM, ISMA, MCA, MIC etc adalah parti secara binarynya kita label sebagai kanan. Manakala PKR, DAP, AMANAH, PSM etc secara hitam dan putihnya kita label sebagai kiri. 


3) Kita pernah sembang pasal pertembungan antara PAS dan UMNO selama 60 tahun bergaduh walaupun sesama kanan dan konservatif, sama-sama Melayu/Islam. Kita namakan ia sebagai pertempuran moral/kepentingan.


4) Ideologinya hampir sama antara PAS dan UMNO. Kerangkanya adalah kerangka konservatif. Tetapi masing-masing bertempur pada isu moral dan kepentingan. UMNO attack PAS sebagai parti orang kampung dan tak reti mentadbir. PAS attack UMNO sebagai parti yang tidak Islamik dan tidak mengamalkan syariat Islam.


5) Dominasi UMNO terlalu kuat, disokong oleh komponen BN yang terdiri daripada MCA dan MIC yang turut mendokong kerangka bernegara - konservatif. PAS tidak ada peluang untuk menewaskan UMNO, melainkan di Kelantan, Terengganu dan Kedah.


6) Ketika berlaku perpecahan besar UMNO dan kemunculan PKR, PAS mengambil peluang bekerjasama dengan PKR. Ketika itu PKR belum menunjukkan belang Liberalismnya. PKR juga memperalat perang moral/kepentingan untuk melawan UMNO. Maka kerjasama dengan PAS terbentuk. 


7) Melihat kepada gegaran besar yang dibuat oleh PAS dan PKR ke atas kekuatan UMNO/BN, DAP yang terang-terang kiri mengambil peluang memerterai kerjasama atas nama perang moral/kepentingan. Isu rasuah, salahguna kuasa, menjadi tema untuk merobek kekuatan UMNO/BN.


8 ) Serangan merobek kekuatan moral UMNO/BN dibuat oleh PKR. Serangan balas UMNO terhadap moral gabungan pembangkang ditepis oleh PAS. PAS dijadikan perisai untuk menepis serangan moral ke atas Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat.


9) Namun apabila pakatan pembangkang semakin kuat mendapat sokongan rakyat dengan berjaya mengambil alih Selangor dan Pulau Pinang, blok Liberal dalam pakatan pembangkang mula tunjuk belang. DAP sah-sah kiri. PKR juga mempamerkan kekiriannya yang tidak sedikit. PAS sebagai parti konservatif dan kanan mula tidak selesa.


10) Dipendekkan cherita, akhirnya Pakatan Rakyat berpecah. Sebahagian pemimpin PAS yang tidak bersetuju dengan konservatism PAS keluar dari PAS dan menubuhkan AMANAH, dan kemudiannya membentuk Pakatan Harapan. 


11) Manakala isu dalaman UMNO juga menyebabkan UMNO berpecah. Perang moral/kepentingan dalam UMNO menyebabkan tertubuhnya parti PPBM. PPBM berpisah daripada UMNO, tidak sama dengan berpisahnya AMANAH daripada PAS. PPBM terhasil daripada perang moral/kepentingan dalaman UMNO, manakala AMANAH terhasil daripada perang ideologi/fikrah dalaman PAS.


12) Untuk menewaskan UMNO/BN sendirian, PPBM merasakan mustahil. Hendak bergabung dengan PAS mungkin ada peluang, tetapi Pakatan Harapan tidak kechil. Ia boleh mencetuskan 3 penjuru yang merugikan mereka dan menguntungkan UMNO. Akhirnya PPBM mengambil keputusan menyertai Pakatan Harapan.


13) Dengan itu, PPBM adalah satu-satunya parti konservatif dalam Pakatan Harapan (PH). Ketika kempen PRU14 berlangsung, saya beberapa kali menyebut, PPBM tidak akan bertahan lama dalam blok Liberal. Selepas PH menang juga saya ulangi kenyataan tersebut dengan memberikan contoh tekanan yang dikenakan ke atas PAS semasa dalam Pakatan Rakyat. Ternyata, akhirnya PPBM keluar PH dan kerajaan PH tumbang.


14) PAS pula setelah tidak bersekongkol dengan PH, PAS lebih bergerak solo tetapi mesra UMNO/BN. PAS tidak join force dengan BN disebabkan luka-luka perang moral/kepentingan masih merah berdarah. PAS keluar dari pakatan PKR dan DAP atas sebab perang ideologi. Maka PAS memilih untuk jadikan PRU14 sebagai medan 3 penjuru sebagai alternatif kepada rakyat.


15) Akhirnya BN tumbang, PAS berjaya menawan Terengganu dan sebahagian besar Kedah. Selebihnya PH menguasai pusat dan negeri-negeri. Dengan penguasaan PH sebagai kerajaan pusat, DS Anwar dibebaskan. DS Anwar mengumumkan untuk menawan negeri-negeri yang belum dikuasai PH pada PRU akan datang.


16) Sepanjang pentadbiran PH yang berhaluan Kiri, banyak isu yang menggugat kerangka bernegara terjadi, sehingga meresahkan pihak konservatif. Pada masa yang sama, serangan pihak konservatif sedikit sebanyak memberi tekanan kepada PPBM yang hanya satu-satunya parti konservatif dalam PH.


17) Isu-isu perkauman sebenarnya dimainkan oleh kedua-dua belah pihak. Tak perlu play victim, kedua-duanya buat benda yang sama. Bezanya, PH busy dengan pentadbiran, tak mampu nak control sentimen yang dimainkan pihak kanan. 


18 ) Isu kedaulatan negara, isu ekonomi, isu agama, isu pendatang, isu Zakir Naik, isu Evangelism, isu Adib dan sebagainya dimainkan secara menyeluruh dan connect every dots to make it a realm yang dipenuhi tekanan ke atas konservatism, Melayu dan Islam.


19) PPBM tak mampu bertahan. Serangan konervatif membuatkannya malu alah. Tambahan pula tekanan dalaman berkisar tentang peralihan kuasa, pertembungan ideologi. Akhirnya PPBM memutuskan untuk keluar PH. Ketika ramai bertanya kenapa PPBM khianat PH? Ketika Bangmat tanya kenapa beliau nampak TS Muhyiddin orang yang sangat baik, boleh khianat PH? Jawapannya adalah ideologi yang tak sama.


20) Sekarang PPBM telahpun join blok Kanan semula. PAS dan UMNO membentuk Muafakat Nasional (MN). Selain penyatuan Melayu/Islam, MN adalah penyatuan konservatif. PPBM pula mahu menguasai blok Kanan melalui Perikatan Nasional (PN), dan semestinya tidak akan dipersetujui oleh UMNO/BN.


21) Jadi pertembungan dalaman blok Kanan, yakni pertempuran moral/kepentingan akan kembali mendominasi blok kanan. Mereka akan alpa dengan kebangkitan semula blok kiri. Mereka tidak mengambil pengajaran bahawa pertembungan moral/kepentingan sesama mereka akan melemahkan blok kanan dalam menghadapi blok Kiri.


22) Cuma sekarang, blok Kiri menghadapi satu masalah lagi dengan adanya Pejuang dan Tun Mahathir yang mempolarisasikan sokongan dalaman PH. PH ada kekuatan untuk menumpaskan blok kanan jika semua mereka bersatu, tetapi kewujudan Tun Mahathir seolah melawan PN - bukanlah kebetulan, tetapi ia adalah salah satu plan yang belum berjaya dibongkar sepenuhnya.


Sekian

Share:

0 comments: