APABILA mengenangkan zaman kanak-kanak, pastinya kita akan tersenyum sendiri. Kisah lucu menggamit memori. Bermain dan meneroka tanpa sempadan, tanpa perlu memikirkan hal orang lain, negara, mahupun dunia. Cukuplah dengan ‘dunia ciptaan sendiri’ yang penuh dengan keseronokan dan kegembiraan.
Saat itu tiada istilah stress mahupun tekanan perasaan, yang ada cuma rasa sedih atau takut dimarahi ibu ayah dek kerana balik rumah hampir Maghrib. Syok sangat bermain ‘cop tiang’ , ‘konda kondi’, ‘teng teng’ atau ‘pondok-pondok’ tak ingat dunia.
Paling seronok bila dapat main pondok-pondok macam real situation. Cari kayu kecil-kecil dan periuk belanga yang sudah tidak digunakan. Pasang api betul-betul dan masak. Berpondok di bawah pokok kelapa kecil. Dahaga, kait sahaja buah sendiri. Meneguk beramai dengan kawan-kawan jiran sebelah. Begitulah memori kanak-kanak kita dahulu. Terlalu indah bila dikenang.
Itu cerita kita, bagaimana pula dengan mereka yang berbeza kisah zaman kanak-kanaknya?
Diuji sejak dari kecil, membekas sehingga dewasa. Masalah keluarga, kemiskinan, ketinggalan pembelajaran, tiada ibu bapa, malah dibuang oleh masyarakat. Muhasabah seketika jika memikirkannya dalam-dalam. Apa agaknya perasaan mereka ketika itu? Semoga asbab mendapat Syurga.
Ditakdirkan Allah S.W.T semasa sudah bekerja, seorang kanak-kanak perempuan datang meluahkan. “Saya stress hari ni, nak rehat”. Saat itu terus tersentak. Hebat sungguh ujian beliau, agaknya ramai kanak-kanak sekarang diuji begitu. Ditambah pula dengan ujian norma baru, bukan ibu bapa sahaja diuji, anak-anak juga turut sama. Sebab apa agaknya? Adakah kerana tatapan teknologi era revolusi digital yang terlalu canggih, bebas malah ada terlebih ekstrem?
Hari ini, 20 November setiap tahun merupakan Hari Kanak-Kanak Sedunia. Oleh itu, jangan sesekali kita lupa kepada aset negara dan ummah ini. Kerana tanpa mereka hari ini, tiadalah pemimpin yang baik akan datang. Seperti kata-kata masyhur Imam Al-Ghazali:
“Jika kamu ingin melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah keadaan generasi mudanya yang ada sekarang.”
Wujudnya generasi muda yang berkobar semangatnya untuk agama dan ummat, datangnya dari didikan sejak kecil. Seandainya dari kecil kita sudah pahatkan dasar iman dan amal di samping ilmu pengurusan diri, menyedarkan anak-anak mengenai hakikat kehidupan semata-mata beribadah kepada Allah S.W.T, in sha Allah masa depan mereka akan lebih cerah.
Jika kita sudah terlanjur mendidik dengan cara tidak sepatutnya, tidak mengapa, masih ada masa. Bagaimana pengakhiran hidup mereka bukan ketentuan kita, semua atas tadbir Allah Yang Esa.
Indah di firman Allah S.W.T kepada hamba-Nya:
“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).”
(al-Qamar: 49)
Dalam dunia yang sangat mencabar, didoakan semoga ibu bapa dan para guru terus cekal mendidik kanak-kanak yang digelar sebagai generasi alpha. Teruslah mendidik tanpa jemu berbekalkan panduan Al-Quran dan Sunnah yang diwasiatkan oleh baginda Rasulullah S.A.W untuk umatnya. Amin.
Selamat Menyambut Hari Kanak-Kanak Sedunia 2020!
AQILA ABD – HARAKAHDAILY
0 comments:
Post a Comment