Blog berita Kedah pelbagai sumber

Monday, November 9, 2020

Kedah wajar terima pampasan


ALOR SETAR: Beberapa perkara berkaitan projek yang telah diluluskan di dalam Rancangan Malaysia ke 11 (RMKe-11) antara kerajaan pusat dan negeri dibincang serta diperhalusi dalam perjumpaan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Takiyuddin Hassan, hari ini.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, dua perjumpaan melibatkan pembangunan negeri dan pegawai kanan kerajaan diadakan sempena kunjungan Menteri Penyelaras berkenaan.

“Antara yang dibincangkan termasuklah program-program kerajaan persekutuan melalui agensi federal berkaitan projek yang telah diluluskan dalam RMKe-11 kerana ada setengahnya bermasalah dan ada yang hampir selesai. Dalam perbincangan ini harapan kita agar projek-projek itu dapat disiapkan seperti yang dijadualkan,” maklumnya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, tengahari tadi.

Selain itu, Takiyuddin juga akan membawa pulang wish list dari kerajaan negeri  untuk disampaikan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin berkenaan permohonan bantuan kewangan melibatkan perlaksanaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dan bekalan air agar diberi perhatian serius oleh kerajaan pusat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Menteri Penyelaras mengakui Kedah berhak mendapat pampasan sewajarnya berikutan pengorbanannya ‘menyediakan’ kawasan tadahan air dan tanah pertanian untuk manfaat penduduk negeri lain.

“Sekiranya sawah padi dan hutan simpan itu 10 peratusnya ditukar kepada kawasan industri, Kedah akan mendapat pulangan lebih dari RM170 juta setahun tetapi apabila sebahagianya terpaksa disimpan untuk kegunaan negara, negeri itu hanya mendapat hasilnya sekitar RM3 juta setahun sahaja.

“Dengan sumbangan 40 peratus beras negara menyebabkan kita tidak perlu lagi import beras dari negara luar, maka amat wajar sekali negeri ini mendapat pampasan yang setimpal,” kata Takiyuddin.

Justeru itu, pembayaran pampasan sebanyak RM200 juta yang dibayar pada tahun lalu, mesti dikekalkan dengan jumlah yang sama berikutan tindakannya selaras dengan kehendak kerajaan pusat yang menekan aspek pemuliharaan alam sekitar. – HARAKAHDAILY 8/11/2020

Share:

0 comments: