Blog berita Kedah pelbagai sumber

Monday, November 9, 2020

Belanjawan prihatin, saksama untuk semua



SAYA mengucapkan tahniah dan syabas buat Menteri Kewangan YB Tengku Zafrul bin Tengku Abdul Aziz kerana telah membentangkan belanjawan yang saya kira memenuhi setiap aspek dan keperluan rakyat dan negara terutamanya ketika negara sedang berhadapan dengan wabak pandemik COVID-19 ketika ini.

Dengan tema ‘Teguh Kita, Menang Bersama’ di mana belanjawan tersebut telah mengambil kira matlamat, strategi dan inisiatif yang mencakupi semua permasalahan semasa dan isu yang sedang didepani oleh rakyat dan negara, saya kira Kerajaan telah mengambil kira setiap sudut dan segmen demi untuk kemakmuran rakyat, ekonomi dan masa depan negara.

Sesuai dengan saranan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, belanjawan kali ini juga telah digarap, diteliti dan diambil pendekatan secara inklusif tanpa meminggirkan mana-mana pihak dalam negara. Nyata tiada sebab sebenarnya untuk belanjawan ini tidak diterima semata-mata untuk kepentingan politik mahupun individu.

Sesuai dengan tema ‘Teguh Kita, Menang Bersama’, belanjawan kali ini menuntut semua pihak tidak kira fahaman politik, kaum, bangsa dan agama untuk sama-sama mengembleng tenaga membantu rakyat dan negara mengharungi saat yang sukar ini sebagaimana saranan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Belanjawan tersebut juga jelas menyerlahkan visi dan ketekunan Kerajaan dalam mengurus tadbir negara ketika mendepani krisis yang secara globalnya mencengkam setiap negara baik dari sudut ekonomi, kelangsungan hidup manusia dan klestarian masyarakat.

Secara amnya, kita semua dapat lihat dalam belanjawan tersebut usaha Kerajaan untuk memulihkan serta menjana ekonomi negara, memelihara kebajikan rakyat dan isi rumah, menyediakan peluang pekerjaan dan memelihara ekosistem perniagaan dan industri untuk terus mampan dalam keadaan semasa yang amat mencabar ini.

Belanjawan kali ini juga telah mengambil kira setiap pandangan, cadangan dan agenda utama pertumbuhan ekonomi negara dalam usaha untuk memulihkan keyakinan rakyat yang terjejas akibat wabak pandemik COVID-19 dan dalam masa yang sama memacu negara keluar dari kegawatan yang sedang melanda saat ini.

Pelbagai insentif dan bantuan yang dinyatakan pastinya akan memberi manfaat untuk sekalian rakyat terutamanya golongan B40 termasuk juga M40. Pujian juga harus diberikan kepada Kerajaan kerana memberikan peruntukan besar untuk agenda Bumiputra mahupun Islam dalam usaha untuk memartabatkan lagi syiar Islam dan memperkasakan Bumiputra.

Setinggi-tinggi penghargaan buat YAB Perdana Menteri Malaysia Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana telah berjaya mengemudi negara dengan baik sekali di saat kita semua berhadapan dengan saat yang begitu sukar dan syabas di atas belanjawan yang benar-benar relevan serta bertepatan dengan keadaan semasa.

Saya doakan agar Malaysia dan rakyatnya agar terus cekal dan berdedikasi dalam mengharungi saat yang sukar ini. Marilah kita bersama membantu Kerajaan dalam usaha untuk memulihkan kembali negara serta meletakkannya dalam landasan yang betul demi untuk kesejahteraan semua.

Semoga kita semua berada dalam lindungan Allah S.W.T dan rahmat-Nya.

YB HAJI AWANG HASHIM
Timbalan Menteri Sumber Manusia

Share:

0 comments: