Blog berita Kedah pelbagai sumber

Tuesday, January 19, 2021

MADA ambil langkah proaktif kawal bena perang


ALOR SETAR: Serangan bena perang ke atas tanaman padi berada dalam pemantauan dan langkah proaktif menanganinya, demikian beritahu Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Menurutnya, tindakan MADA adalah mengadakan program pengawasan dan ramalan perosak (PNR) di lapangan yang dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Biosekuriti Tumbuhan (BBT), Jabatan Pertanian. 

“Terdapat 945 point PNR telah ditetapkan secara bersama antara MADA dan BBT. Point PNR merupakan tanda aras penetapan tahap ambang ekonomik (ETL) sesuatu perosak atau penyakit padi. Pemantauan dilakukan sebanyak 6 pusingan setiap musim penanaman padi.

Advertisement

“Melalui PNR ini, pengesanan awal kehadiran perosak dan penyakit telah dihebahkan kepada para peladang melalui bendera amaran. Sehingga 16 Januari 2021, sebanyak 131 bendera amaran telah dinaikkan di seluruh kawasan MADA untuk memberi amaran kepada para peladang berkenaan kehadiran dan serangan bena perang. 

Bendera amaran pertama yang dikeluarkan mengenai ETL bena perang adalah pada 6 Disember 2020 di kawasan Wilayah II, Jitra. Manakala di kawasan PPK G-IV khususnya, bendera amaran telah dikeluarkan pada 13 Disember 2020,” ujar beliau merujuk kawasan kes dilaporkan media mengenai kejadian tersebut.

Kelmarin dahulu media menyiarkan isu serangan bena perang atau nama saintifiknya Nilaparvata lugens iaitu merupakan salah satu perosak utama tanaman padi yang berlaku di Yan di bawah Wilayah IV MADA iaitu di Kota Sarang Semut.

Maklum Ahmad Tarmizi, kerjasama strategik juga turut dilaksanakan bersama jabatan dan agensi yang terlibat dalam tanaman padi seperti Jabatan Pertanian, MARDI, universiti tempatan serta syarikat agrokimia. 

“Kerjasama strategik ini merangkumi kajian, demonstrasi serta pemantauan perosak di lapangan. Pihak MADA juga telah melaksanakan beberapa tindakan bagi mengurangkan risiko serangan perosak terhadap tanaman padi. Antara kempen pengembangan.

“Iaitu kami mengambil inisiatif menyampaikan maklumat dan teknologi terkini tanaman padi kepada para peladang melalui kempen ini secara berterusan pada setiap musim penanaman padi. 

“Pada Musim 2/2020, penekanan kempen pengembangan adalah melibatkan lima aspek iaitu kempen pematuhan jadual tanaman, kempen tabur terus dalam air bertakung, kempen pengurusan rumpai padi, kempen pengurusan perosak dan kempen pematuhan amalan agronomi. 

“Berdasarkan rekod, bagi Musim 2/2020, pihak MADA telah melaksanakan 233 kempen pengembangan melibatkan 4,295 peladang,” maklum beliau yang juga Ahli Parlimen Sik.

Selain itu katanya, pada Musim 2/2020 pihak MADA memberi penekanan kawalan perosak secara spesifik iaitu di kawasan ‘hot spot’ menggunakan racun demonstrasi termasuk di lokasi dilaporkan media baru-baru ini. 

Jelasnya, pada 14 Januari 2021 itu, pihak MADA telah melaksanakan kawalan bena perang di Kampung Gelam, PPK D-IV di Permatang Buluh itu di mana kawalan ini akan diteruskan di kawasan-kawasan ‘hot spot’ lain secara berperingkat.

“Pihak MADA telah merekodkan data serangan bena perang dan hopperburn di dalam sistem yang dikenali sebagai GIS SMP. Proses kemasukan data adalah secara ‘real time’ yang membolehkan pegawai pengembangan MADA memasukkan data serangan secara terus di lapangan. 

“Berdasarkan laporan GIS SMP sehingga 16 Januari 2021, seluas 213.70 hektar bena perang dan 76.40 hektar hopperburn telah direkodkan,” ujarnya yang memperincikan data itu mengikut Wilayah MADA.

Maklum beliau lagi, penyampaian maklumat juga dilaksanakan menggunakan kaedah hebahan yang merangkumi media cetak, media sosial, rakaman video, SMS alert dan hebahan melalui pergerakan mobile unit.

Termasuk katanya, bagi memastikan penyampaian maklumat dapat disampaikan dengan lebih bekesan dan menyeluruh, pihak MADA telah melaksanakan konsep pengembangan mengikut blok pengairan.

Terdapat dua jenis bena perang iaitu bersayap pendek (brachypterous) dan bersayap panjang (macropterous) di mana serangan boleh bermula dari peringkat semaian sehinggalah kepada peringkat berbuah. 

Ia menyerang pangkal rumpun padi berhampiran permukaan air dengan merosakkan tanaman padi secara menghisap cairan dalam pokok padi di mana tanpa kawalan, ia boleh menyebabkan pokok padi menjadi kering seperti terbakar dan seterusnya mati. 

Keadaan tersebut dikenali sebagai ‘hopperburn’ yang menyebabkan pengurangan hasil padi, oleh itu memerlukan pemantauan bena perang perlu dilakukan pada setiap peringkat pertumbuhan pokok padi bermula dari peringkat semaian. 

Kehadiran bena perang perlulah diawasi dan sekiranya melebihi tahap ambang ekonomi (ETL) iaitu 5 ekor dewasa atau 10 ekor nimfa, tindakan kawalan perlulah dilakukan segera bagi mengekang kemerebakan serangan bena perang. 

Kawalan kimia yang disyorkan adalah menggunakan racun serangga yang mempunyai bahan aktif contohnya buprofezin, pymetrozine dan imidacloprid. – HARAKAHDAILY

Share:

0 comments: