KUALA LUMPUR: Tiada sebarang penghinaan dibuat terhadap kaum India sepertimana dituduhkan pihak tertentu yang membuat dakwaan berkaitan, demikian kata Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Jelasnya, beliau telah menggunakan bahasa kiasan atau bidalan yang bukan membawa maksud secara langsung, tetapi telah difahami dalam konteks lain termasuk diputarbelitkan oleh media tertentu dari disebutnya.
“Contohnya, ‘lebih sudu daripada kuah’. Mana ada sudu lebih daripada kuah? Tapi ada bidalan yang macam itu. Contohnya, ‘terlebih lajak daripada laju’. Ada ke lebih lajak daripada laju? Tak ada. Tapi ada bidalan macam itu.
Contohnya depa (penuduh) inilah, ‘lebih lajak daripada laju’. Benda kecik saja, tapi hang terlebih-lebih. Over react, that unnecessary. Bahasa Inggerisnya macam itu,” ujar beliau pada satu program di Alor Setar hari ini.
Menyentuh perkataan ‘mabuk’ dan ‘todi’ disebutnya sebelum ini, beliau menyatakan ia sama sekali tidak bermaksud untuk menghina kaum India, sebaliknya juga adalah bahasa kiasan atau bidalan merujuk kepada pihak terbabit.
“Mabuk ini macam-macam, ‘mabuk cinta’ pun mabuk. ‘Mabuk cinta’, dia bukan mabuk, tapi dia dipanggil mabuk. Samalah ini ‘mabuk populariti’. Dia bukan mabuk (seperti minum arak) itu, (tapi) dia syok sangat dekat populariti, ‘mabuk populariti’ lah,” jelasnya.
Manakala mengenai ‘todi’ pula menurutnya, ia merujuk sebagai penambah perisa sebagaimana sebutan loghat di kampung mengenai ‘ketip lidah’ di mana menunjukkan sensasi rasa dialami lidah apabila mengambil minuman tertentu.
KEDA bukan medan politik
Terdahulu beliau mengingatkan supaya badan berkanun seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) tidak dikepung fungsinya bagi tujuan kepentingan politik kelompok tertentu sebaliknya bebas melaksanakan tanggungjawabnya.
Tegas beliau, matlamat penubuhan dan setiap sen yang diperuntukan mesti sampai kepada kumpulan sasar secara terarah agar dapat membantu orang miskin dan membangunkan wilayah sebagaimana dihasratkan.
“Tidak lagi menjadi tempat untuk menimba, mengaut pengaruh untuk kepentingan politik, untuk kepentingan sesiapapun. Saya rasa dengan kebebasan yang dinikmati oleh agensi-agensi kerajaan badan-badan berkanun rakyat akan lebih terbuka, lebih selesa untuk menerima manfaat terbaik semaksima mungkin daripada setiap kerja buat.
“Macam KEDA untuk membangunkan wilayah, bangunkan wilayahlah, jangan membangunkan parti politik tertentu. Ya. Saya rasa ini satu tindakan yang patut dilaksanakan lama dulu, tapi belum terlewatlah untuk kita buat sekarang ini.
“Jangan takut dengan orang politik, orang politik ini patut menjadi pemudah cara, bukan penyusah cara,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY
0 comments:
Post a Comment